Pelumba Honda maut di Litar Sepang
TERKINI @ 11:19:14 PM 23-10-2011
October 23, 2011
SEPANG, 23 Okt – Penunggang Honda Marco Simoncelli meninggal dunia kerana cedera parah dilanggar dua pelumba lain dalam perlumbaan kategori MotoGP di Litar Sepangg di sini petang ini.
Dia dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Simoncelli berusia 24 tahun.
Dalam pada itu, perlumbaan dibatalkan berikutan kematian Simoncelli akibat kemalangan pada pusingan kedua.
Perlumbaan tersebut dibatalkan oleh penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit (SIC) dan Dorna Sports iaitu pemegang hak perlumbaan MotoGP Dunia.
Pengarah Perubatan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) Dr Michele Macchiagodena mengumumkan kematian Simoncelli pada sidang media di Litar SIC, lapor Bernama Online.
Katanya, pelumba pasukan San Carlo Honda Gresini itu, yang mengalami kecederaan di bahagian toraks dan perut, meninggal dunia pada pukul 4.56 petang di pusat perubatan SIC di litar berkenaan.
Perlumbaan yang bermula 4 petang itu tersebut tidak diteruskan empat minit kemudian selepas Simoncelli terjatuh dan motosikalnya dirempuh oleh pelumba Yamaha Colin Edwards dan pelumba Ducati, Valentino Rossi di selekoh ke-11.
Perlumbaan ditangguhkan pada pukul 4.05 petang dan Simoncelli kemudian dibawa dengan ambulans ke pusat perubatan di litar itu.
Bagaimanapun, Ewards terselamat daripada kecederaan serius manakala Rossi tidak mengalami kecederaan.
Kata Macchiagodena: “Punca kematian disebabkan trauma di bahagian kepala, leher dan dada.”
“Apabila pegawai perubatan kami tiba, beliau tidak sedarkan diri. Petugas perubatan telah memberi bantuan pemulihan pernafasan (CPR) dalam ambulans.
“Sebaik tiba di pusat perubatan, beliau diinkubasi. Malangnya, kami tidak dapat membantunya. Pada pukul 4.56 petang, beliau meninggal dunia,” kata Macchiagodena.
Sementara itu, Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir sedih dengan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga Simoncelli dan pasukannya.
“Anda tidak boleh memberi jamin 100 peratus perlumbaan yang selamat dalam mana-mana perlumbaan permotoran.
“Anda terdedah kepada bahaya apabila berlumba. Sebagai profesional, mereka mengetahui MotoGP adalah bahaya. Percaya atau tidak itu sahaja mereka berjuang. Takziah kami kepada Marco (Simoncelli). Pemergiannya amat dirasai,” kata Mokhzani kepada wartawan Malaysia dalam sidang media berasingan.
Di kalangan komuniti MotoGP dan peminat, Simoncelli lebih dikenali dengan gaya rambut afronya.
Beliau memulakan karier dalam perlumbaan motosikal pada 2002 dalam kelas 125cc sebelum melangkah ke kelas 250cc pada 2006.
Beliau pernah menjuarai gelaran dunia 250cc pada 2008.
Pada tahun lepas, beliau beralih ke kelas MotoGP dan menamatkan musim itu dengan tempat kelapan keseluruhan dan tahun ini, beliau menduduki tangga keenam dengan 139 mata.
Kematian Simoncelli merupakan kejadian pertama dalam kelas MotoGP sejak pelumba Honda, Daijiro Kato dari Jepun terbunuh pada perlumbaan GP Jepun 2003.
Seorang lagi pelumba Jepun, Shoya Tomizawa turut maut dalam kemalangan sama dalam acara Moto2 tahun lepas.
Sumber http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pelumba-honda-maut-di-litar-sepang/
*yang pakai full safety pun boleh terima nasib sedemikian rupa apatah lagi status sbg seorang rempit nie (sorry to say la bro). beringatlah!!!!
*Dan ingatlah setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati (pesanan utk diri).
No comments:
Post a Comment