Aniq Bukhary Channel: Isu semasa


Sukan, Bola sepak, lawak, isu semasa dll.

Promosi hebat untuk anda!

Showing posts with label Isu semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts

Friday, April 18, 2014

Kisah mengapa mendiang Karpal Singh tidak memakai serban (Turban)

Pernah sekali penulis terdengar pergaduhan di Parlimen melibatkan mendiang Karpal Singh ketika penulis masih wartawan dengan sebuah syarikat akhbar arus perdana.

Ketika itu hari pembentangan Bajet (tak ingat tahun mana) dan sebelum pembentangan dibuat, Karpal bangun mempersoalkan sesuatu berhubung aturan di Parlimen.

Seperti biasa… maka timbullah suara yang mendesak beliau agar duduk… diselang seli dengan pertukaran kata-kata kasar dari kedua belah pihak (kerajaan dan pembangkang).

Antara yang penulis masih ingat adalah seorang Ahli Parlimen menjerit… “Hoi bengali, duduklah”.

Lepas itu, ada pulak yang menyambung… “Ini bukan bengali… ini bengali murtad… serban tarak,” .

Bengali kalau di rantau Asia Selatan bukan merujuk kepada orang Sikh tetapi kepada orang Bangladesh… tapi tidak mengapa dengan pemahaman seperti itu… ia tidak berapa penting buat masa ini.

Mendiang Karpal Singh

Walaupun serban adalah tenet atau prinsip penting dalam agama Sikh, namun yang tidak memakainya bukan dikatakan murtad tetapi dikenali sebagai sahajdhari (berlajar dan menerima secara perlahan-lahan).

Seperti mendiang Karpal, beliau mengamalkan semua prinsip utama (5K) dan memakai serban pada waktu-waktu tertentu menjadikan beliau sebagai seorang sahajdhari.

Pemakai serban dan pengamal 4 lagi perkara wajib dikenali sebagai lelaki Khalsa.

Mengikut ajaran Sikh, tidak ada satu bulu pun di badan yang boleh dipotong atau dibuang. Penggunaan serban adalah bertujuan mengemaskan rambut panjang yang akan tumbuh selepas bertahun-tahun tidak dipotong.

Ok berbalik kepada tajuk rencana ini… mengapa Karpal Singh memilih untuk tidak mengenakan serban?

Jika mengikut wawancara beliau dengan sebuah akhbar berbahasa inggeris beberapa tahun lalu, Karpal berkata, beliau memakai serban secara tetap sehingga tahun 1970.

Wajah mendiang ketika memakai
serban di universiti Singapura

“Bagaimanapun, pada 1969 saya telah berada di kedai gunting rambut menunggu giliran saya untuk mengunting rambut saya yang panjang sebelum menoleh ke luar tingkap dan melihat ayah saya sedang menaiki basikal (lalu di hadapan kedai), saya terus gugup dan membatalkan hasrat.

“Tahun berikutnya saya berada di Alor Star dan ia sangat panas ketika itu yang merupakan musim menuai. Saya baru sahaja memulakan kerjaya sebagai peguam dan keperluan untuk membasuh dan mengikat rambut memakan masa yang amat lama. Saya berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan.

“Ia bukan mudah untuk mengambil tindakan seperti itu. Saya berseorangan dalam bilik saya, berjalan mundar-mandir memikirkan keputusan saya. Akhirnya, saya mengikat rambut saya, mengambil gunting dan memotong bahagian ekornya. Kemudian saya ke kedai gunting rambut dan tukang gunting mencantikan potongan saya,” katanya.

Sudah melakukannya satu benda kata beliau, untuk berhadapan dengan ibu bapanya satu lagi hal besar.

“Saya memakai kembali serban tetapi ibu saya perasan yang ia kelihatan lain dari belakang dan mula menangis. Dia menjerit ‘kamu telah memalukan kami’.

“Nasib baik ayah saya menarik saya ketepi dan berkata; : Sabar, orang perempuan memang suka membuat kecoh. Teruskan memakai serban untuk sedikit masa lagi sehingga mereka dapat menerima idea itu,” katanya.

Karpal seterusnya menambah, beliau memakai lagi serban untuk setahun sebelum menanggalkannya.

“Namun, pada majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan anak saya, saya tetap akan pakai,” katanya.

Jadi… kita dapat fahamlah mengapa Karpal tidak memakai serban… satu tindakan yang diambil atas desakan kerjaya yang pada mula tidak diterima keluarganya tetapi kemudian boleh.

*****

Dalam banyak-banyak tulisan mengenai mendiang Karpal Singh, penulisan ini antara yang paling saya suka. Cara penulis mengolah ayat sangat kemas dan teratur (teringin pula nak menulis macam penulis Mynewshub.my ini). Apa-apa pun, takziah diucapkan kepada keluarga mendiang.

Tuesday, March 25, 2014

Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi - Najib

KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunita Putra (PWTC) malam tadi.

Kata Perdana Menteri, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.


Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan memaklumkan akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat seperti yang ia lakukan sejak pesawat ini hilang.

MAS juga memaklumkan operasi mencari dan siasatan menyeluruh akan diteruskan untuk mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat miliknya itu.

"Sekali lagi, dengan rendah hati, ingatan, doa dan takziah kami untuk semua yang terjejas dengan tragedi ini," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Najib memberitahu satu sidang media akan diadakan pada Selasa dengan maklumat yang lebih lanjut.

"Pada masa ini, kami ingin memaklumkan kepada anda perkembangan terbaru ini pada kesempatan yang terdekat. Kami berkongsi maklumat ini dengan komitmen kepada keterbukaan dan rasa hormat kepada keluarga, dua prinsip yang menggarisbawahi penyiasatan ini," katanya.

Menurut Najib lagi, Malaysia Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

"Bagi mereka, beberapa minggu kebelakangan ini cukup menyedihkan; saya tahu berita tentunya lebih sedih lagi," katanya.

Najib juga menyeru kepada media untuk menghormati ruang peribadi ahli keluarga yang terlibat dan memberikan kepada mereka ruang yang sangat diperlukan pada masa yang sukar ini.

Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Pautan: www.astroawani.com

Sunday, March 16, 2014

Kapten Zaharie Ahmad Shah dari kaca mata sahabat baik beliau

Kapten Zaharie Ahmad Shah

Sedar atau tidak, hari ini sudah pun masuk hari ke-9 misteri kehilangan pesawat MH370 dan orang yang menjadi bualan ketika ini sudah pastinya juruterbang pesawat MAS MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah. Ramai yang bercerita mengenai beliau sejak kehilangan MH370 8 mac lepas.

Siapa sebenarnya Kapten Zaharie ini masih ada lagi yang tertanya-tanya. Untuk pengetahuan Kapten Zaharie Ahmad Shah merupakan juruterbang yang cukup disegani dalam kalangan kakitangan Malaysia Airlines (MAS), berdasarkan kemahiran, kepakaran dan serta pengalaman luas yang beliau dimiliki.

Juruterbang yang telah mencatatkan 18,365 jam penerbangan itu juga mempunyai sebuah sistem simulator penerbangan Boeing 777 di kediaman beliau. Sistem simulator penerbangan itu dipasang oleh beliau sendiri dan siap pada November 2012 menggunakan perkakasan FSX dan FS9 pada enam skrin monitor.

Sistem simulasi itu turut dilengkapi dua kad grafik terkini jenis Asus 7970 serta beberapa perkakasan canggih yang lain. Minat anak kelahiran Pulau Pinang yang juga bekas pelajar Penang Free School itu turut mencakupi pesawat kawalan jauh dan beliau memiliki model Bell 222 dan jenis Cataline PBY.

Menyertai MAS pada 1981, Zaharie juga merupakan pemeriksa bertauliah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA). Selain Boeing 777, beliau pernah menerbangkan pesawat Fokker 50, Boeing 737 dan Airbus 300.

Disifatkan sebagai seorang yang mesra, peramah, ceria, gemar bergurau serta aktif dalam komuniti kejiranan, Zaharie juga mempunyai kebolehan memasak. Antaranya kari ikan, cendawan brokoli dan sambal tauhu malah beliau seringkali menghantar sendiri masakan seperti spaghetti dan bihun goreng untuk kenduri di kawasan perumahannya. [Sumber]

Juruterbang Zaharie Ahmad Shah dari kaca mata sahabat baik beliau, Kapten Norudin Abd Majid. Saksikan video dibawah:


Daripada penjelasan ringkas ini, dapatlah kita tahu betapa kapten Zaharie bukannya calang-calang orang dalam dunia penerbangan. Pengalaman yang begitu luas dan kemahiran yang begitu tinggi. Apa-apa pun, semoga beliau berada dalam keadaan selamat begitu juga dengan para kru dan penumpang MH370.

#Let'sPrayForMH370